[VIDEO] Titah Adendum sah, UMNO mohon tahanan rumah Najib dilaksana

SHAH ALAM – UMNO merakamkan rasa syukur kepada ALLAH SWT susulan pengesahan kewujudan Titah Adendum oleh Jabatan Peguam Negara (AGC).

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, perkara itu sekali gus memperakui titah bagi penahanan rumah terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

**media[3197673]**

“UMNO merafak sembah memohon ampun dan ihsan kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong agar titah tahanan rumah tersebut dapat dilaksanakan selaras dengan kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong berpandukan Perkara 42(1) Perlembagaan Persekutuan.

“Semoga dengan limpah kurnia Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku, Najib dapat menikmati keringanan hukuman yang telah tertunda lebih setahun lalu. Daulat Tuanku,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Pada Rabu, AGC memaklumkan kepada Mahkamah Persekutuan bahawa pihaknya tidak mempertikaikan kewujudan Titah Adendum yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara dalam tahanan rumah.

Sebaliknya, Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan berkata, AGC hanya mempersoalkan prosedur untuk mengemukakan titah tersebut sebagai bukti baharu dalam permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi.